KUCHING, 15 Jun — Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyertai Perarakan Gawai Dayak (Cultural Parade) 2024.
Perarakan sejauh sekitar 1.2 kilometer itu disertai lebih 3,000 peserta melibatkan 111 kontinjen yang bermula di Bangunan Tun Jugah dan berakhir di pentas utama Tower Square, Tebingan Kuching.
Sebelum perarakan bermula, upacara 'pisien' diadakan di Atrium Tun Jugah.
Perarakan tersebut diketuai oleh Abang Johari dan turut diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian serta tetamu kehormat lain.
Masyarakat tempatan dan juga pengunjung asing turut tidak melepaskan peluang menyaksikan perarakan tersebut yang berlangsung dengan cukup meriah.
Peserta perarakan kemudiannya berarak menuju ke Tebingan Kuching di mana tetamu kehormat menyaksikan lintas hormat kontinjen yang mempamerkan pakaian tradisi masing-masing.
Selain jabatan dan kementerian, perarakan itu turut disertai oleh agensi swasta, NGO dan kontinjen Persatuan Veteran Tenaga Kor Renjer (Sarawak Ranger).